Saturday, February 12, 2011

Operasi Piramid ATM tamat


SUBANG 11 Feb. - Operasi Piramid yang dilancarkan kerajaan sejak 2 Februari lalu bagi membawa keluar rakyat serta pelajar Malaysia dari Mesir ditamatkan dengan kepulangan tiga pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di pangkalan udara pasukan berkenaan di sini pada pukul 3.11 petang ini.




Dalam operasi terakhir itu, pesawat-pesawat berkenaan turut membawa pulang sekumpulan 96 pelajar Malaysia, 148 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 31 anggota sukarela pelbagai agensi dan 14 wakil media tempatan.



Sejurus sebelum mendarat, ketiga-tiga pesawat itu terbang rendah secara selari dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik berakhirnya operasi berkenaan, sambil disambut oleh tepukan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin serta para pegawai ATM dan sanak saudara terlibat.



Ahmad Zahid Hamidi menyambut pelajar Malaysia yang pulang ke tanah air dengan pesawat C-130 di Subang.



Ahmad Zahid dalam sidang akhbar selepas itu berkata, beliau berbangga dengan kejayaan para petugas ATM dalam menyempurnakan misi sembilan hari itu namun terguris dengan sikap segelintir pihak yang dilihat cuba mempolitikkan usaha murni kerajaan tersebut.



"Saya rasa tercabar dan terguris hati apabila anak-anak buah saya dalam ATM yang telah berkorban masa, jiwa dan tenaga dilemparkan dengan pelbagai tuduhan. Ini adalah satu penghinaan untuk ATM," tegasnya.



Sepanjang tempoh operasi, kesemua pesawat TUDM tersebut melakukan 18 penerbangan ulang-alik melibatkan destinasi Jeddah-Kaherah-Jeddah dan Jeddah-Iskandariah-Jeddah yang berjaya membawa keluar 3,482 rakyat Malaysia dari Mesir.



Selain itu, seramai 2,150 rakyat Malaysia berjaya dikeluarkan dari Mesir dengan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan 1,760 lagi dibawa keluar dengan penerbangan AirAsia.



Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, kejayaan operasi itu bukan kerana usaha ATM semata-mata tetapi dibantu oleh agensi kerajaan lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa syarikat swasta.

UTUSAN MALAYSIA 12/2/2011


No comments:

Post a Comment